Friday, July 12, 2019

MAKANAN EKSOTIK KERABU BRONOK LANGKAWI


Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai tempat pelancongan malah ia terkenal dengan makanan uniknya yang tersendiri iaitu sejenis hidupan laut yang sukar ditemui di tempat-tempat lain. Salah satu daripadanya ialah bronok. Nama saintifiknya “Acaudina molpadioides” merupakan makanan eksotik yang sangat istimewa bagi penduduk pulau lagenda ini. Ia seringkali disajikan sebagai kerabu oleh rakyat tempatan Langkawi. 



   Bronok ialah spesies hidupan laut yang hidup di kawasan pantai yang berselut. Rupa fizikalnya kelihatan seakan-akan gamat ataupun timun laut. Tekstur kulitnya sangat licin dan lembik seperti sotong dan terdapat dalam beberapa warna antaranya coklat kehitaman atau merah muda. Selain licin dan lembik, isinya juga sangat kenyal dan agak masin. 

  Kebiasaannya, ia hanya dijadikan kerabu kerana sifatnya yang alah kepada haba membuatkan ia akan mencair menjadi air masin jika dimasak. Cukup sekadar dimakan bersama nasi putih yang dihidang panas, rasanya sangat menyelerakan. Kerabu bronok ini adalah makanan tradisi bagi masyarakat Langkawi. Namun, ramai pelancong yang datang ke Langkawi belum mengetahui tentang makanan unik ini kerana ia hanya boleh didapati pada musim-musim tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment